Nasional

Kerajaan sedia insentif khas RM40,000 bagi pemenang pingat emas WSC 2024 di Lyon

Kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas pada Pertandingan Kemahiran Dunia 2024 (WSC) di Lyon, Perancis pada September ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, insentif khas kepada peserta itu, sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang pada WSC 2024.

Berucap pada majlis pelancaran Road to Lyon 2024 di Cyberjaya pada Jumaat, beliau berkata, pemenang pingat perak pula akan menerima ganjaran RM20,000, manakala pingat gangsa menerima RM10,000.

“Peserta yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dengan memungut pingat emas, perak dan gangsa akan turut dianugerahkan pengiktirafan berbentuk persijilan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dalam bidang kemahiran masing-masing,” katanya.

Pada WSC 2024, Malaysia diwakili oleh 15 orang belia berkemahiran terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara, yang akan bertanding dalam 14 bidang kemahiran daripada 62 bidang kemahiran dipertandingkan.

Sim berkata, penyertaan kontinjen negara ke WSC 2024 dikelolakan oleh dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Kerja Raya.

“Sembilan bidang kemahiran diuruskan oleh KESUMA, manakala lima bidang kemahiran yang berkaitan industri pembinaan diuruskan KKR.

“Kedua-dua kementerian ini telah memperlihatkan suatu sinergi yang cukup hebat serta berganding bahu, dalam membuat persediaan dan menguruskan penyertaan pasukan Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa,” katanya.

Sim berkata, beliau menyasarkan kontinjen Malaysia meraih sekurang-kurangnya satu emas pada WSC 2024 dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen negara WSC Lyon 2024.

WSC 2024 akan diadakan bermula 7 hingga 16 September ini di Lyon, Perancis.

Related Articles

Check Also
Close