Nasional

Seramai 159,027 calon lepasan SPM ditawar lanjut pengajian ke peringkat IPT

Seramai 159,027 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) meliputi Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, pada tahun ini, sejumlah 214,173 permohonan yang layak diterima menerusi UPUOnline dan daripada jumlah tersebut, seramai 83,667 calon ditawarkan di UA, 43,531 calon ditawarkan di Politeknik, 26,474 di Kolej Komuniti dan 5,355 di ILKA.

Menurutnya, tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 16,593 dengan pecahan tawaran iaitu 15,082 bagi kategori B40, 425 orang kurang upaya (OKU), 732 atlet dan 354 Orang Asli.

“Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mendapat tawaran.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 504 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 104 sijil, 53 asasi, 346 diploma dan 1 ijazah sarjana muda,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut KPT, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

Bagaimanapun katanya, bagi calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, KPT telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 28 Jun 2024, jam 12 tengah hari hingga 7 Julai 2024, jam 5 petang.

“Pihak kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya,” katanya.

Related Articles

Check Also
Close