Negeri

Polis berkas 3 lelaki tempatan lindungi 58 PATI di Bandar Tenggara

Polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan disyaki menjadi pelindung kepada 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu serbuan di sebuah kilang kitar semula haram di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, Johor pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, penahanan itu dibuat susulan operasi bersepadu antara Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5 Simpang Renggam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kastam Negeri Johor hasil makluman awam.

Menurutnya, seramai 58 PATI membabitkan 53 lelaki dan lima wanita berusia antara 18 hingga 53 tahun, turut ditahan dalam operasi itu kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Hasil operasi bersepadu itu, kita menahan dua penjaga kilang lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an, kerana melindungi 58 PATI yang bekerja di kilang itu, selain menahan kesemua PATI berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui satu paket kecil berisi serbuk serta ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.46 gram dengan seorang penjaga kilang itu disahkan positif dadah.

“Kita turut membuat tahanan ke atas penyelia kilang berusia 40-an yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, untuk memberi keterangan pada kira-kira pukul 10.30 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hussin berkata, JAS Johor turut membuka siasatan menerusi Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengesan pencemaran susulan kewujudan kilang kitar semula haram berkenaan.

“Tiga lelaki tempatan yang juga penyelia dan penjaga kilang itu ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas atas mana-mana individu yang terbabit melindungi dan menggaji PATI serta salah guna dadah,” katanya.

Jelas beliau, ketiga-tiga lelaki tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63; Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen selain Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Difahamkan, kilang berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk menahan operasi kilang berkenaan selain Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) dan Aktiviti 14(b)(Ii) Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close