Hiburan

Zepp Kuala Lumpur digegarkan dengan Konsert Search Gemuruh

Lebih 2,000 penonton menghadiri Konsert Search Gemuruh yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, membuktikan bahawa kumpulan rock ‘otai’ tersebut masih berbisa dan relevan dalam industri muzik tanah air.

Pentas pembukaan konsert tersebut diserikan dengan persembahan khas artis undangan yang menyampaikan medley lagu-lagu popular Search seperti Akhirnya, Menara Kesesatan, Neo Romantik, Teguh dan Andainya Ku Miliki Semalam.

Persembahan para artis jemputan tersebut berjaya membangkitkan semangat penonton yang hadir sebagai ‘pemanas badan’ sebelum mereka menikmati persembahan watak utama dalam konsert tersebut.

Sorakan hadirin di Zepp Kuala Lumpur semakin membara ketika Search memulakan persembahan mereka yang dianggotai oleh Kid (gitar), Din (gitar), Rozaimi (bass), Min (dram), dan Amir Masdi (vokal).

Gandingan vokal lunak milik Amir Masdi sudah cukup menaikkan semangat para peminat dengan dendangan lagu-lagu terkenal milik kumpulan tersebut termasuk Pelesit Kota, Diari Habil dan Qabil, Fantasia Bulan Madu dan Honky Tong Kosong.

Sebelum memulakan segmen seterusnya, kumpulan Search turut mengadakan sebuah segmen tribute buat pemain dram kumpulan berkenaan yang sudah kembali ke rahmatullah pada 2019, Yazit Ahmad.

Sebahagian hasil penjualan tiket konsert juga disumbangkan kepada waris keluarga Allahyarham Yazid sebagai tanda penghormatan.

Hasil kutipan tiket tersebut telah berjaya menyumbangkan sebanyak RM5,000 kepada keluarga Yazit dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mengeluarkan sumbangan dengan jumlah yang sama.

Selepas segment tribute berkenaan, Search kembali menggegarkan pentas dengan lagu-lagu terkenal mereka termasuk Mentari Merah di Ufuk Timur, Fenomena, Gadisku dan Pawana.

Persembahan Search dalam Konsert Search Gemuruh sudah tentu berjaya memberi kepuasan buat para hadirin yang jelas memberikan sokongan kepada kumpulan berkenaan meskipun terpalit beberapa kontroversi dalam membuat keputusan siapa yang akan menjadi vokalis utama dalam konsert tersebut.

Namun, pemilihan Amir Masdi sebagai vokalis kumpulan berkenaan didalam konsert itu sudah jelas merupakan keputusan yang bagus memandangkan dia berjaya memukau peminat dengan vokalnya yang mantap sepanjang konsert tersebut berlangsung.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close