Nasional

Indikator Kos Sara Hidup baharu diumum November ini – PM

Indikator Kos Sara Hidup (KSH) baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat yang lebih terperinci dengan pecahan dibuat mengikut daerah sedang diteliti dan dijangka diumumkan pada November ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui KSH, ia memberi gambaran secara kolektif berkaitan jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah. 

Menurutnya, ia merangkumi keperluan bagi kehidupan wajar yang lebih menyeluruh iaitu makanan dan minuman, pakaian, perumahan, kesihatan, pengangkutan, pendidikan, komunikasi serta keperluan lain.

“Pada masa ini, indikator KSH sedang dalam peringkat akhir penyediaan untuk dimuktamadkan dan diumumkan pada awal November 2024.

“Pengiraan indikator ini membabitkan 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, 162 daerah pentadbiran serta mengikut lokasi bandar dan luar bandar. Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digunakan sebagai asas perbandingan relatif,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu perkembangan terkini indikator baharu diumumkan kerajaan Mac lalu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat.

Anwar berkata, pembangunan indikator KSH secara terperinci sehingga ke peringkat daerah sangat penting dalam usaha penilaian semula pengukuran tahap kos sara hidup rakyat. 

Kata beliau, memandangkan penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya mengukur perubahan harga sertat ertakluk kepada penawaran dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan. 

Sehubungan itu, kata Anwar, kerajaan memutuskan supaya indikator KSH berdasarkan nilai keperluan perbelanjaan bulanan isi rumah diterbitkan bagi melengkapi indikator KSH sedia ada. 

Mengulas lanjut, Anwar berkata, indikator KSH disusun bagi mendapatkan perbezaan kos bagi harga barangan dan perkhidmatan yang diperoleh isi rumah mengikut lokaliti. 

Selain itu, KSH membolehkan pengukuran berdasarkan sumber pendapatan yang diterima sama ada daripada gaji tetap, bekerja sendiri, pulangan daripada aset dan pelaburan serta pindahan semasa yang diterima sama ada daripada kerajaan, swasta atau individu lain. 

Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sebelum ini bersetuju supaya Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membangunkan satu indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.

Mac lalu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada kenyataan dipetik berkata, indeks berkenaan dibangunkan berdasarkan kawasan bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan berdasarkan keperluan di sesuatu lokaliti.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close