Nasional

Markas Wilayah Laut 2 TLDM terima dua unit ROVR

Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah menerima sebanyak dua unit Retail Outdoor Venture Reload (ROVR) untuk melaksanakan kerja-kerja pengisian minyak di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan dengan lebih pantas dan efisien.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM, ROVR tersebut merupakan sebuah tangki minyak mudah alih petrol dan diesel berkapasiti 5,000 liter setiap satu untuk kegunaan kenderaan tentera.

“Projek pemasangan ROVR di MAWILLA 2 telah bermula pada 11 Disember 2023 dan siap sepenuhnya pada 22 Januari 2024 dengan kos keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1,156,840.

“Dengan kewujudan ROVR di MAWILLA 2, kerja-kerja pengisian minyak di Pangkalan TLDM Sandakan dapat dilaksanakan dengan cepat dan efisien berbanding sebelum ini.

“Sejak penubuhan MAWILLA 2, pengisian minyak untuk kenderaan tentera TLDM telah dilaksanakan di Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja,” kata kenyataan tersebut.

Untuk info, projek tersebut merupakan hasil kerjasama Program Kerjasama Perindustrian antara Petronas Dagangan Berhad (Petronas) dan TLDM.

Dalam pada itu, TLDM turut menzahirkan harapan agar kerjasama sebegini dapat dijadikan contoh yang baik dalam pelaksanaan projek-projek kolaborasi industri untuk kepentingan keselamatan dan kesejahteraan negara, serta memperkukuhkan lagi keupayaan operasi TLDM di masa hadapan.

ROVR berkenaan telah diserahkan secara rasmi di Tapak ROVR MAWILLA 2 pada Isnin daripada Petronas yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasinya, Azureen Azita Abdullah dan diterima oleh wakil TLDM, Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.

Turut hadir, Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Khir Junaid Idris.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close