Tentera Israel sekali lagi mengarahkan penduduk di selatan Gaza berpindah berikutan serangan roket oleh kumpulan Jihad Islam semalaman, sebelum melakukan serangan balas.
Tentera Israel berkata, kira-kira 20 peluru dikenal pasti melintasi kawasan Khan Younis di selatan Gaza tetapi kebanyakannya berjaya dipintas dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ia diikuti arahan pemindahan di Al-Qarara, Bani Suhaila dan bandar-bandar lain di Rafah serta Khan Younis, hampir dua bulan selepas perintah kali pertama untuk mengosongkan Rafah sebelum serangan darat.
Sayap bersenjata Jihad Islam yang berjuang bersama Hamas, Briged Al-Quds, berkata serangan roket mereka disasarkan kepada penduduk Israel berhampiran sempadan Gaza bagi membalas dendam terhadap jenayah ke atas rakyat Palestin.
Sebelum ini, mendahului pencerobohan darat di Rafah, lebih sejuta orang dipindahkan ke bandar paling selatan itu.
Penduduk Bani Suhaila, Ahmad Najjar berkata, mereka kini semakin takut dan bimbang selepas menerima arahan pemindahan terbaharu kerana tiada lagi tempat selamat untuk dituju.
Saksi dan agensi pertahanan awam melaporkan berlaku serangan udara Israel termasuk di selatan Rafah dan kem pelarian Nuseirat tengah, sekali gus meletakkan keseluruhan Gaza di bawah serangan.
Saksi juga melaporkan kereta kebal Israel melepaskan tembakan berterusan di Shujaiya, di mana pertempuran memasuki hari kelima.
Helikopter Israel dilaporkan menembak ke arah rumah di Shujaiya, manakala sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, berkata ia akan meneruskan pertempuran dengan pasukan pertahanan Israel (IDF) di Shujaiya dan Rafah.
Tentera Israel berkata pihaknya menghapuskan banyak pejuang Hamas dalam serbuan di Shujaiya dan mendakwa serangan udara turut membunuh kira-kira 20 pejuang.
Tentera juga mengumumkan kematian seorang askar di selatan Gaza, meningkatkan jumlah korban anggota IDF ketika serangan darat kepada 317 mangsa. – AFP