Nasional

Penyasaran semula subsidi berkesan kurangkan ketirisan – Amir Hamzah

Langkah berani pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasionalisasikan subsidi diesel mula menunjukkan hasil, terutamanya dalam membendung penyeludupan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya mendapati berlaku pengurangan ketara sekitar 40 hingga 50 peratus jualan purata harian diesel di stesen minyak di kawasan sempadan yang sekaligus memberi petanda keberkesanan penyasaran semula subsidi bahan api itu dalam menangani ketirisan.

“Tanda awal menunjukkan pendekatan penyasaran semula subsidi ini berkesan dalam mengurangkan ketirisan.

“Jika dibandingkan jualan runcit diesel sebelum penyasaran semula subsidi dan selepasnya, setakat ini, jualan purata harian di stesen minyak Semenanjung Malaysia menurun lebih 30 peratus dan stesen di kawasan sempadan mengalami pengurangan yang lebih ketara di antara 40 peratus hingga 50 peratus.

“Indikator ini jelas pengurangan penyeludupan,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Terdahulu, seorang Ahli Parlimen bertanyakan sejauh mana langkah penyelarasan subsidi itu berupaya membenteras penyeludupan diesel rentas sempadan.

Sebagai rekod, Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 mendedahkan Malaysia kehilangan RM10 bilion akibat aktiviti penyeludupan diesel.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, agak tidak munasabah apabila penggunaan diesel bersubsidi meningkat lebih 80 peratus, daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023, walaupun tiada peningkatan ketara dalam kenderaan diesel.

Jelasnya, apa yang berlaku adalah sebanyak tiga juta liter diesel dikesan diseludup keluar negara setiap hari mengakibatkan kerugian harian RM4.5 juta, akibat kedua-dua sindiket tempatan dan asing yang bekerjasama untuk merompak hasil negara.

Sementara itu menurut Amir Hamzah, kelulusan bantuan tunai BUDI MADANI diberikan kepada 115,000 pemilik kenderaan diesel, manakala baki jumlah pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak bagi permohonan BUDI MADANI individu adalah sekitar 300,000 orang.

Rasionalisasi subsidi dijangka akan menyediakan lebih banyak dana untuk digunakan demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi dalam pelbagai cara, seperti yang dijanjikan oleh Anwar dan pentadbirannya bahawa faedah rasionalisasi subsidi pada akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat.

Related Articles

Check Also
Close