Seorang lelaki disahkan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas melanggar pembahagi jalan di Batu 8, Jalan Mantin, Nilai, Negeri Sembilan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun kira-kira pukul 11 pagi.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, motosikal mangsa telah bergesel dengan sebuah kereta sehingga menyebabkan penunggang motosikal hilang kawalan dan terbabas ke pembahagi tepi jalan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Katanya, penunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo itu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian
010-4554359.
Baca juga: