Jenayah

15 wanita ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menahan seramai 15 orang wanita yang disyaki terlibat dengan aktiviti persundalan menerusi Op Noda dan Op Pusat Hiburan yang dijalankan di lima buah pusat hiburan di Kuching, Sarawak pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memaklumkan kesemua wanita berkenaan disyaki berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan (GRO) di pusat hiburan yang digempur tersebut.

“Wanita yang ditahan tersebut terdiri daripada enam orang warga tempatan dan sembilan orang warga asing.

“Selain wanita berkenaan, pihak polis turut menahan empat orang lelaki tempatan yang bekerja di pusat hiburan tersebut dan 17 orang lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Ahsmon turut melaporkan kesemua suspek warga asing yang ditahan telah direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan melanggar syarat pas, permit dan pas sempadan.

Selain itu, suspek warga tempatan yang ditahan pula akan direman selama empat hari untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 372 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahguna mana-mana individu untuk aktiviti persundalan.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara hingga 15 tahun dengan sebatan serta denda.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close