3 projek antara isu signifikan dibentang di Dewan Rakyat

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang dibentangkan di sidang Dewan Rakyat pada Khamis antaranya melaporkan sembilan pengauditan melibatkan 11 kementerian dengan kos keseluruhan program, projek atau aktiviti yang diaudit berjumlah RM41.97 bilion.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, pengauditan itu adalah mengenai aktiviti kementerian atau jabatan Kerajaan Persekutuan serta badan-badan berkanun Persekutuan dan skop pengauditan meliputi projek yang dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga RMK12.

Jelasnya, terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan yang berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang pemantauan atau penyeliaan oleh pihak berkaitan, ketiadaan penyelarasan antara agensi berkenaan, ketiadaan pangkalan data yang lengkap dan kelemahan dalam polisi mahupun prosedur kerja.

“Kelemahan ini menyebabkan program, aktiviti atau projek tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan, kualiti kerja tidak memuaskan, kos meningkat dan kerajaan tidak mendapat nilai faedah wang yang dibelanjakan,” katanya menerusi kenyataan.

Wan Suraya berkata, antara isu signifikan dibangkitkan dalam laporan itu adalah membabitkan pengurusan projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL), pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar serta pengurusan projek dan program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Berhubung pengurusan program pemerkasaan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi jalur lebar pula, lampiran itu memaklumkan matlamat untuk memperluas liputan dan ketersambungan Internet berkelajuan tinggi (fiber) di kawasan luar bandar menerusi peruntukan kewangan kerajaan belum tercapai sepenuhnya.

“Sebanyak 28 daripada 87 jajaran jalur lebar (kawasan projek Broadband To General Population-BBGP) di Sabah dan Semenanjung bernilai RM53.60 juta tidak dilanggan dan tidak digunakan antaranya sejak dari tempoh penyiapan pada 2013 dan 2017.

“Terdapat sebahagian infrastruktur jajaran berkenaan dalam keadaan terbiar, sambungan talian kabel terputus dan kerosakan peralatan. Sebanyak 337 daripada 597 sampel sekolah masih menggunakan teknologi jalur lebar (broadband) atau satelit dengan kelajuan yang terhad walaupun teknologi fiber telah disediakan di bawah projek Point of Presence (PoP) Fasa 1,” menurut lampiran itu.

Mengenai pengurusan projek dan program di bawah ECER, lampiran itu memaklumkan sebanyak 37 daripada 43 plot perindustrian tidak diisi dengan pelabur bagi Projek Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), Projek Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP 3) dan Projek Taman Biopolimer Kertih (KBP) Fasa 1 hingga 3.

“Selain itu, terdapat infrastruktur seperti Animal Production Unit (APU), stor dan rumah pekerja bernilai RM4.03 juta di tapak Projek Pembangunan Ladang Komersial Kambing di Ulu Tersat, Terengganu tidak digunakan sejak 2011,” menurut laporan itu lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat