Nasional

Bank Rakyat tawar bantuan khas kepada empat daerah terjejas banjir di Sabah

Bank Rakyat menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di empat daerah iaitu di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman menerusi satu kenyataan pada Khamis berkata, sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin, Bank Rakyat terpanggil untuk mengurangkan bebanan dan kesulitan yang dihadapi pelanggannya.

Beliau berharap agar kemudahan moratorium ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini yang mana amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

default

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini.

“Ini termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” ujarnya.

Pelanggan yang terjejas boleh memohon bantuan menerusi e-mel ke bantuanbanjir@bankrakyat.com.my dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi dan jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan.

Untuk maklumat lanjut, selain berkunjung ke Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) atau mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB), pelanggan juga boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close