Bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Tan Sri Zainal Rampak, 84, meninggal dunia pada Khamis.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pemergian Allahyarham Zainal meninggalkan kesan yang mendalam dalam dunia kesatuan sekerja di Malaysia dan serantau.
“Beliau berkhidmat sebagai Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dari tahun 1986 hingga 2004, memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja dengan dedikasi dan semangat yang tidak pernah pudar.
“Pada peringkat antarabangsa, beliau turut dikenang atas sumbangannya sebagai ahli badan pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dari tahun 2000 hingga 2004,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, beliau juga memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan dari tahun 1994 hingga kini, dan Setiausaha Agung Majlis Kesatuan Sekerja ASEAN dari tahun 1996 hingga 2004.
“Kepimpinan beliau melangkaui sempadan negara apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa bagi rantau Asia Pasifik dari tahun 2001 hingga 2009,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham turut diberi gelaran ‘Bapa Pekerja Malaysia’ pada 1 Mei 1997 sebagai menghargai perkhidmatan beliau yang tidak ternilai untuk kesejahteraan pekerja.
Ujarnya, sebahagian hidup Allahyarham diperjuangkan kepada kesejaheraan dan meningkatkan taraf hidup golongan pekerja di mana sumbangan beliau akan terus dikenang dan dihargai oleh semua yang mengenalinya.
Kamarul mengucapkan takziah kepada keluarga Tan Sri Zainal Rampak, semoga beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.
Baca juga: