Nasional

Kunjungan Sheikh Al-Azhar sebagai satu bentuk penghormatan besar buat negara

Lawatan khas Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia dianggap sebagai penghormatan besar kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Sheikh Al-Azhar itu seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam dan dikenali sebagai ketua ilmu yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.

Selain berpendirian tegas dalam isu Palestin, Sheikh Al-Azhar itu juga sangat arif mengenai permasalahan semasa.

“Beliau mahu umat Islam ke depan dalam soal digital, kecerdasan buatan, peralihan tenaga dan juga dalam hal ini, maknanya beliau minta supaya umat Islam jangan ketinggalan bidang-bidang penerokaan alam pemikiran teknologi baru.

“Sebab itu beliau juga akan terlibat secara langsung dalam perhimpunan The World Future’s Summit di New York. Ini bagi saya satu peranan yang besar kepada kekuatan Islam, terikat kepada akidah dan akhlak Islam tetapi masih terus maju untuk membawa serta menuntut perubahan umat Islam dalam bidang-bidang yang perlu diterokai.

“Sebab itu bagi saya, kehadiran beliau insya-Allah akan beri manfaat kerana menekankan kepentingan peningkatan kefahaman Islam,” katanya.

Anwar berkata begitu pada ucapan aluan pada Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series di Kompleks Seri Perdana malam tadi yang dihadiri lebih 400 tetamu.

Turut hadir isteri pada acara itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dr Ahmad Muhammad kini dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia hingga Jumaat atas jemputan Anwar.

Melalui syarahan beliau bertajuk ‘Peranan Akhlak dan Toleransi Dalam Pembangunan Negara MADANI’, Dr Ahmad Muhammad menyeru rakyat Malaysia untuk menjaga keharmonian dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa.

Related Articles

Check Also
Close