Negeri

Lelaki maut, nahas dua kereta bertembung di Jalan Jelapang

Seorang lelaki dipercayai warga tempatan meninggal dunia manakala seorang lagi cedera selepas dua buah kereta yang dipandu terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Jelapang, Ipoh, Perak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubungan kemalangan itu kira-kira pukul 10.30 malam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang memandu kenderaannya dari arah Silibin menuju ke Jelapang dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

Zainal berkata, kenderaan yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang datang dari arah Jelapang menghala ke Silibin.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada dan kepala manakala pemandu sebuah lagi kereta hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan) oleh Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya menadu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri dan pengguna jalan raya.

Justeru, polis meminta saksi yang menyaksikan kemalangan ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Edwun Tang Chiew Song di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close