Nasional

LKAN: Pengauditan beri impak positif menerusi pembetulan, penambahbaikan

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) meliputi laporan berhubung pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan selain mengenai aktiviti kementerian atau jabatan dan badan-badan Persekutuan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, sebanyak 64 syor audit dikemukakan untuk dilaksanakan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan yang diaudit di peringkat Persekutuan.

Katanya, pengauditan yang dijalankan Jabatan Audit Negara (JAN) secara dasarnya memberikan impak positif menerusi tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh kerajaan sebaik sahaja teguran audit diterima.

“Susulan audit terhadap LKAN 2020, 2021 dan 2022 melalui Portal Papan Pemuka Ketua Audit Negara, didapati kerajaan telah mendapat bayaran balik, antaranya tuntutan penalti, sewa tertunggak dan kutipan ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) yang dianggar berjumlah RM100 juta sehingga suku kedua 2024,” katanya.

Sementara itu, Wan Suraya berkata, LKAN 2/2024 yang dibentangkan di Parlimen setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan merupakan pembentangan LKAN yang kedua tahun ini selepas 6 Mac lepas.

Wan Suraya berkata, JAN akan melaksanakan Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) mulai Julai 2025 dengan teknik, metodologi dan pendekatan pengauditan inklusif serta mampan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam pengauditan digital.

Beliau berkata, antara inisiatif PPJ ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti penggunaan dron dan semakan secara pengauditan jarak jauh (remote auditing) dan menggunakan peralatan analisis data termaju dalam mengenal pasti risiko, kelemahan kawalan dalaman atau tanda bahaya (red flags) berhubung data atau maklumat yang diperolehi.

“Melalui PPJ juga, semua maklumat berkaitan pengauditan, sumber manusia dan LKAN akan diintegrasikan untuk menghasilkan output tepat dan pantas,” katanya.

LKAN 2/2024 akan dimuat naik di laman sesawang JAN selepas pembentangan di Dewan Rakyat dan orang ramai boleh melayari laporan itu menerusi http://www.audit.gov.my.

Related Articles

Check Also
Close