Negeri

Polis kesan pengedar dadah rempuh 4 kenderaan di Jalan Cheras

Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta yang membawa dadah serta bertindak merempuh empat buah kenderaan di Jalan Cheras, pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta Honda City merempuh empat buah kenderaan ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sunway Medical Centre Cheras pada pukul 9.40 malam.

“Kenderaan yang dipandu suspek telah melanggar kereta Perodua Bezza dari sisi sebelah kanan, kemudian merempuh sebuah lagi kenderaan jenis Inokom Atos pada bahagian belakang.

“Kereta dipandu suspek turut melanggar kereta Suzuki Swift pada bahagian sisi kanan, manakala kereta Perodua Alza pada bahagian sisi sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rusdi berkata, suspek kemudian telah memberhentikan keretanya di kawasan berhampiran Lobi Sunway Medical Centre Cheras, sebelum melarikan diri.

“Kes telah disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan awal ke atas kereta suspek telah menjumpai empat peket dadah jenis methamphetamine, tiga keping eremin 5, dua peket dadah ketamin dan tujuh biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM10,577.

“Pihak polis merampas sebuah kereta Honda City warna putih, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenis dan dua kad akses kediaman.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051 atau Hotline Trafik KL di talian 03-2071 9999/ 03-2071 9777, Hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close