Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan empat warga asing yang disyaki terlibat dengan kes transaksi pertukaran dan melarikan wang di Persiaran TRX dan Jalan Razak Mansion, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan bahawa individu yang ditahan terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 24 hingga 37 tahun.
“Tangkapan yang dibuat tersebut adalah susulan daripada aduan seorang lelaki berumur 45 tahun yang mendakwa wang miliknya sebanyak RM360,966 telah dilarikan oleh sekumpulan individu terbabit.
“Pengadu pada mulanya mahu membeli emas daripada suspek dan mereka berjumpa di Ampang untuk membuat transaksi di kawasan pejabat suspek.
“Namun, suspek bertindak melarikan diri bersama wang tunai yang dibawa oleh pengadu setelah berjumpa dan pengadu gagal untuk mengejar suspek kerana terkunci di dalam kereta di mana mereka melakukan transaksi tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain penahanan kesemua suspek, pihak polis turut merampas beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM28,300, dua buah kereta, enam unit telefon bimbit, sebuah komputer riba, tiga pasang pakaian dan sepasang kasut, enam keping kad bank, dua buah kunci rumah dan tiga buah beg galas.
Hussein turut memaklumkan hasil siasatan mendapati modus operandi suspek adalah untuk menjanjikan emas kepada mangsa dan melarikan wang semasa transaksi pertukaran wang dibuat.
Dalam pada itu, kesemua suspek kini berada di bawah tahanan reman dan kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Baca juga: