Politik

PRK Sungai Bakap: Jasa Anwar uruskan hutang negara akan dikenang generasi mendatang – Rafizi

Beberapa tindakan diambil kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan soal penyasaran subsidi dan pengurusan hutang negara bagi memperkukuhkan kewangan negara akan memberikan manfaat terbesar buat negara pada masa depan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Mohd Rafizi Ramli, berkata, langkah itu termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, tahun lalu.

“Maknanya ada had berhutang menjelang tahun 2028 sebanyak tiga peratus fiskal defisit sahaja, maknanya kalau saiz ekonomi kita RM2 trilion maksudnya RM60 bilion saja boleh hutang tak boleh ikut suka.

“Tahun pertama kita turunkan kepada lima peratus, tahun ini tak tidur malam kita kerana kena turunkan 4.3 peratus tahun depan dan 3.5 peratus tahun berikutnya.

“Kedua, had siling hutang kerajaan tidak boleh melebihi 60 peratus daripada saiz hutang negara,” katanya katanya pada Ceramah Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Ladang Sempah, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Rabu.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi itu berkata, tindakan diambil kerajaan itu mungkin belum dapat dilihat kesannya namun beliau yakin jasa Perdana Menteri akan dikenang berpuluh-puluh tahun akan datang.

Beliau menyifatkan keputusan tidak popular sedemikian meletakkan bahawa tidak ada pemimpin kerajaan selepas ini yang boleh sewenang-wenangnya berhutang dan mewariskan hutang kepada generasi baharu.

Menurutnya, tindakan itu sekali gus bertujuan menjamin dan mengukuhkan kewangan negara supaya pemimpin masa depan tidak menanggung hutang terlampau tinggi sehingga dalam berada situasi perlu mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Negara kita ini kalau kita tidak ‘ikat’ budaya berhutang, pimpinan selepas kita akan terus berhutang bila terlalu tinggi dah tak boleh bayar apa pilihan pimpinan masa depan generasi muda nanti? Dia kena pergi pinjam IMF.

“Sebab kita nak jaga negara ini supaya jangan ada pada masa depan negara kita kena berhutang dengan IMF supaya kewangan negara kita kukuh dan Malaysia dihormati sebagai negara Islam yang kuat,” katanya.

Rafizi berkata, pembangkang harus menyedari sekiranya mereka menjadi kerajaan, parti gabungan yang dibentuk turut perlu mengambil keputusan besar seperti penyasaran subsidi bagi mengurangkan hutang negara.

Beliau turut berpendapat, mana-mana parti yang menjadi kerajaan sama ada pada masa sekarang atau selepasnya akan berdepan masalah keberhutangan negara.

“Dia (pembangkang) pun sedar bahawa kalau dia jadi kerajaan dia juga kena buat keputusan-keputusan besar seperti penyasaran subsidi, kena cari jalan kurangkan hutang dan tak boleh buat ikut suka.

“Hutang kerajaan kita semua sedia maklum sudah sampai ke peringkat yang tidak lagi berlaku adil kepada yang muda-muda,” katanya.

Related Articles

Check Also
Close