Nasional

Rampasan diesel menurun, kes seleweng RON95 pula meningkat

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan sebanyak 46 kes dengan nilai rampasan 14,011 liter petrol RON95 selepas 20 hari pelaksanaan penyasaran susbsidi diesel.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kes berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 37 kes dengan rampasan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas.

“Jumlah tangkapan pula telah meningkat daripada 10 orang kepada 17 orang dalam tempoh yang sama.

“Bagi tempoh sama, jumlah kes yang melibatkan penyelewengan subsidi diesel telah menunjukkan penurunan signifikan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, jumlah kes yang telah direkodkan ialah sebanyak 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.

“Manakala bagi tempoh 10 Jun hingga 30 Jun lepas, menunjukkan penurunan drastik dengan hanya 14 kes telah direkodkan di seluruh negara melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter,” ujarnya.

Jelas Armizan, perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan rampasan diesel sebanyak 87 peratus selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan individu ditahan berkurang daripada 40 orang kepada seorang sahaja.

“KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah Ops Tiris 3.0 di seluruh negara,” ujarnya lagi.

Difahamkan, ini akan melibatkan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat di atasi secara menyeluruh dan berkesan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close