Jenayah

Wanita rugi RM1.6 juta selepas jadi mangsa penipuan mata wang kripto

Seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM1.6 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner Datuk Mohd Khairi Khairudin memaklumkan mangsa merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 49 tahun.

“Mangsa pada mulanya berminat dengan iklan kejayaan kewangan yang disiarkan di sebuah laman sesawang dan kemudiannya dihubungi oleh seorang individu bernama Jasmine Yong untuk dijemput masuk ke sebuah grup aplikasi WhatsApp untuk urusan saham pada Disember tahun lalu.

“Tiga bulan kemudian, mangsa diberi arahan oleh beberapa individu untuk memulakan pelaburan mata wang kripto tersebut ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Khairi turut menyatakan mangsa telah dijanjikan pulangan pelaburan sebanyak RM90 juta namun mangsa masih gagal menerima pulangan keuntungan tersebut.

Mangsa kemudiannya mulai menyedari dirinya telah ditipu selepas perbualan mesej dan panggilan telefon terhadap pihak mata wang kripto tersebut telah disekat.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dan melakukan semakan lebih terperinci terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

Orang ramai dinasihatkan untuk dapatkan maklumat daripada sumber-sumber rasmi seperti SemakMule, Alert List Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang meragukan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close