Nasional

Maritim Johor tahan 4 vesel nelayan asing, masuk perairan negara secara haram

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Johor menahan empat buah Vesel Nelayan Asing (VNA) bersama 19 orang kru di kedudukan 9.7 batu nautika Timur Laut Pulau Pemanggil, Mersing Johor pada pukul 1 petang hari Khamis.

Pengarah Maritim Zon Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin melaporkan keempat-empat vesel yang berasal dari Thailand tersebut dikesan ketika pihak mereka sedang melakukan rondaan penguatkuasaan Op Jaksa dan Op Tiris di sekitar perairan Mersing.

“Pemeriksaan mendapati 19 orang kru yang ditahan terdiri daripada 11 orang warga Thailand, seorang warga Kemboja dan tujuh warga Myanmar yang berada dalam lingkungan umur 26 hingga 67 tahun.

“Kesemua vesel ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen bertulis bagi kebenaran memasuki perairan perikanan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Suhaizan turut memaklumkan kesemua 19 kru dan empat buah vesel berkenaan serta peralatan menangkap ikan yang dirampas telah dibawa ke Jeti Maritim Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memasuki perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran.

Dalam pada itu, pihak Maritim Malaysia turut menekankan bahawa mereka mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing untuk mengaut hasil laut dalam perairan negara.

Pihak Maritim turut menyeru orang ramai yang mempunyai aduan atau kemalangan di laut untuk menghubungi taluan kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim negeri yang berdekatan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close