MOM kurang sensitif isu semasa? Jenama Skechers taja kontinjen negara di Olimpik Paris 2024

Kolaborasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama jenama sukan terkemuka, Skechers dalam menaja beberapa jenis kasut dan sandal buat kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 telah menerima pelbagai reaksi berbelah bahagi daripada masyarakat tempatan pada Jumaat.

Sebelum ini, MOM menyatakan kolaborasi tersebut bagi memberikan keselesaan dan sokongan yang mencukupi daripada aspek pemakaian kasut sepanjang temasya itu berlangsung.

Sejumlah 100 set kasut berkualiti tinggi telah disediakan oleh pihak Skechers yang melibatkan tiga kategori bagi setiap atlet dan pegawai yang jumlah penajaan mengikut harga pasaran kasut tersebut berjumlah lebih RM194,000.

Namun, penajaan itu menerima kecaman masyarakat tempatan yang menganggap pihak MOM kurang peka dan tidak sensitif ekoran jenama tersebut diboikot oleh masyarakat tempatan atas kelantangan mereka menyokong Israel yang diketahui masyarakat seluruh dunia.

Tambahan pula, Malaysia terkenal dengan keaktifan dan sifat tegas dalam membantah genosid yang kini berlaku di bumi Gaza sejak berdekad.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan mahupun jawapan yang diberikan daripada pihak MOM mahupun Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkenaan isu penajaan tersebut.

Terdahulu, MOM membuat pengumuman di mana kasut para atlet akan ditaja oleh jenama itu ketika Majis Pelancaran kolaborasi tersebut di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM).

Anda Mungkin Berminat