Jenayah

Pemandu e-hailing kasari wanita didenda RM2,000

Seorang pemandu e-hailing didenda sebanyak RM2,000 selepas didapati bersalah mengasari penumpang wanita di Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 19 Jun lalu.

Ku Mashariman berkata, sebelum itu pihaknya mengesan video tular memaparkan kejadian tersebut di laman X pada Khamis.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa dan pihak polis telah berjaya menangkap suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, menerusi video tersebut pemandu e-hailing telah mengasari seorang wanita dengan menggunakan botol air sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan.

Sehubungan itu beliau menasihati orang awam untuk tidak membuat spekulasi berhubung dengan video tular ini.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close