Jenayah

Polis buru suspek kes pecah cermin kereta di kawasan LRT Awan Besar

Polis Daerah Cheras telah menerima enam laporan berhubung kes cermin kereta yang dipecahkan di tepi jalan kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh melaporkan hasil semakan mendapati bahawa keenam-enam kereta tersebut telah diparkir oleh pemilik kenderaan pada Isnin, sekitar pukul 3 petang di tepi jalan kawasan berkenaan.

“Bahagian cermin kereta telah dipecahkan oleh suspek yang masih bebas sebelum pemilik kenderaan menyedarinya keesokan harinya.

“Insiden ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat dan pemilik kenderaan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ravindar turut memaklumkan kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan untuk mengenal pasti dan menangkap suspek yang bertanggungjawab.

Beliau juga menekankan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil untuk memastikan masyarakat sentiasa berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Dalam pada itu, pihak polis telah menggerakkan pasukan penyiasat untuk mengumpul bukti di tempat kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut.

“Kami sedang berusaha dengan gigih untuk mengenal pasti dalang di sebalik insiden ini dan membawa mereka ke muka pengadilan,” tambahnya.

Pihak polis juga menasihati orang ramai untuk lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila meninggalkan kenderaan mereka di kawasan awam dan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kereta yang boleh menarik perhatian penjenayah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berdekatan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close