Hiburan

Yonnyboii serlahkan sisi rock jiwang dalam single ‘Nadi’

Seringkali tampil dengan lagu yang membawa mesej berat, penyanyi Yonnyboii tampil lagi dengan karya cukup mendalam berjudul Nadi.

Istimewanya, dia turut bergandingan dengan pemain gitar tersohor dan bekas anggota Wings, Jobranko untuk projek tersebut.

Yonnyboii atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor mengakui, lagu tersebut cukup istimewa kerana terilham daripada perasaan peribadi.

Dicipta bersama komposer Amy Bong, Yonnyboii memaklumkan, sebagai seorang yang berdepan masalah mental, dia ingin turut menyelami jiwa pendengar menerusi karya terbabit.

“Saya mahu Nadi ini dirasa secara peribadi dalam hati pendengar. Kerana lagu ini saya tulis mengenai bagaimana saya berdepan keresahan dan ketakutan apabila berjumpa dengan orang baharu.

“Saya bimbang dan segan mahu meminta pertolongan daripada sesiapa saya mahu mereka yang berdepan situasi serupa dapat bangkitkan kekuatan dalam diri untuk menanganinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Yonnyboii, mesej utama dalam lagu itu tidak lain untuk menyuntik semangat hidup kepada pendengar. Sesiapa juga pasti inginkan kebebasan daripada suatu perasaan yang gelap.

“Ia menggambarkan bagaimana saya dihantui sebuah perasaan tertentu dan mahu bebaskan diri daripadanya. Kesimpulannya, saya cuba mengejar kebebasan,” katanya.

Paling mengujakan buat Yonnyboii juga semestinya peluang bergandingan dengan Jobranko. 

Baginya peluang keemasan itu adalah satu penghormatan besar buatnya daripada figura yang sudah lama bertapak dalam industri seni tanah air.  

“Saya bangga apabila gabungan ini tercipta daripada dua generasi berbeza,” ujarnya.

Sementara itu, Jobranko sendiri sangat menghargai gandingan tersebut yang sekali gus menunjukkan satu penghargaan pemuzik lama kepada yang baharu. 

“Sebenarnya kolaborasi ini memang sesuatu yang tidak dijangkakan. Secara jujurnya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk beraksi dalam lagu Nadi dengan Yonnyboii. 

“Saya sangat menghargai Yonnyboii sebagai seorang pemuzik yang berbakat besar. Dia memang artis yang memiliki pegangan tersendiri. 

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan terima kasih kepada penerbit lagu ini iaitu  Amy Bong, semua warga Universal Music Malaysia termasuk pasukan Yonnyboii untuk kolaborasi ini,” kata Jobranko yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Wings.

Sudah melancarkan video muzik (MV) baru-baru ini, Yonnyboii sangat gembira dengan hasil sentuhan pengarah kreatifnya, Andrew Lim. 

Menurutnya, dia cuma memberikan panduan kepada Andrew bagaimana konsep diinginkan secara asas dan ternyata, kepercayaan itu jelas digalas begitu cemerlang oleh pengarah terbabit.

“Saya serahkan kepercayaan kepadanya. Dia berjaya beri hasil yang sangat baik untuk menggambarkan isi hati saya. 

“Andrew yang mencipta keseluruhan jalan ceritanya. Misalnya adegan saya melarikan diri dari kontena, kenapa saya berbuat demikian dan sebagainya. 

“Disebabkan lagu ini adalah sebuah karya bergenre rock jiwang, cuma beritahu mereka konsep diinginkan iaitu sesuatu yang ‘grunge’ dan rock,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Yonnyboii turut berharap Nadi mampu mengulang kejayaan lagu-lagu terdahulunya. 

Menurutnya, dia inginkan mesej dalam lagu ini akan berjaya membekas di hati sesiapa juga yang mendengar.

Nadi kini boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music mulai 21 Jun lalu dan MV rasmi sudah ditayangkan secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Yonnyboii pada tarikh sama. 

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close