Nasional

Covid-19: Kerajaan mansuh arahan kuarantin di rumah berkuat kuasa 15 Julai ini

Kerajaan memansuhkan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) atau arahan kuarantin di rumah bagi individu positif Covid-19 berkuat kuasa 15 Julai ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, langkah itu seiring peralihan fasa hidup bersama Covid-19 selain jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan serta kes kematian menunjukkan penurunan, selain tiada varian baharu dikesan di Malaysia sehingga kini.

Selain pemansuhan arahan kuarantin itu, individu disahkan positif Covid-19 hanya digalak memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial dan mengelakkan tempat sesak.

“Bagaimanapun, individu itu (disahkan positif) masih berpotensi menyebarkan jangkitan Covid-19.

“Oleh itu, atas tanggungjawab sosial, individu terbabit digalakkan untuk kekal berada di rumah atau tempat kediaman. Elakkan berinteraksi rapat dengan orang lain dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah kawalan dan pencegahan kesihatan awam sekiranya perlu keluar rumah atau tempat kediaman,” kata kenyataan tersebut.

Kementerian itu turut menegaskan, pihaknya akan sentiasa memantau situasi terkini Covid-19 di peringkat global dan Malaysia.

Kementerian mempunyai kaedah pemantauan untuk menilai situasi Covid-19 sejak fasa awal pandemik yang dikenali sebagai Sistem Amaran Awal (HAS) dan masih digunakan sehingga kini.

“Tiga indikator yang dipantau dalam HAS ialah kes baharu Covid-19, kes kematian Covid-19, dan kemasukan kes Covid-19 ke hospital.

“Peningkatan kes dari semasa ke semasa adalah dijangkakan dan orang ramai disarankan untuk hidup bersama Covid-19 dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan,” katanya.

Setakat ini varian yang sedang menular di Malaysia adalah masih varian Omicron dengan subvariannya terdiri daripada Variant of Concern (VOC), Variant of Interest (VOI), dan Variant Under Monitoring (VUM).

KKM sementara itu orang ramai untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk memperkasakan diri, menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkannya kepada orang lain.

Related Articles

Check Also
Close