Nasional

Hari kedua program MADANI Rakyat terus dibanjiri pengunjung

Memasuki hari kedua Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur, kemeriahannya dijangka berganda dengan pengunjung mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membawa keluarga merebut pelbagai tawaran menarik yang disediakan kali ini.

Selepas bermula dengan program Subuh Warrior di Masjid Sultan Ahmad I, aktiviti kecergasan sukan rakyat pelbagai peringkat usia umur turut diadakan meliputi acara sepak raga ratus, terompah gergasi dan lari dalam guni di Dataran Sayangi Kuantan.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 dan BUDI MADANI menerusi ‘pocket talk’ di Pentas Utama anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan.

Tumpuan pada hari kedua ini pastinya terarah kepada acara kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Pentas Utama tapak program pada pukul 2.30 petang.

Program ini juga akan diserikan dengan persembahan Aneka Budaya Pantai Timur oleh Permata Seni Tari yang dibawakan khas oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Pentas Utama, selain Aktiviti Demonstrasi Masakan Kesihatan di Pentas Reruai.

Pada sebelah malam pula, artis seperti Aina Abdul, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Siti Nordiana dan Wany Hasrita akan tampil dengan persembahan Konsert Pata Timo di Pentas Utama pada pukul 8.30 malam.

Pelbagai perkhidmatan awam yang ditawarkan secara langsung kepada rakyat juga akan diteruskan hari ini, antaranya Jualan Rahmah, kaunter diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 50 peratus, penukaran topi keledar untuk 1,000 pengunjung terawal, dan tawaran lebih 1,700 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya.

Program MADANI Rakyat Zon Timur adalah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon, bertujuan memberi peluang untuk masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurut laporan daripada Bernama, program ini dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dan turut mendapat kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kerajaan Pahang.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close