Negeri

Imigresen kutip ‘kupu-kupu sangkut di jaring’

Aktiviti tidak bermoral warga asing disyaki yang menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan atau GRO terbongkar selepas pusat hiburan yang terletak di Georgetown itu, diserbu Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pulau Pinang, pada malam Jumaat.

Dalam serbuan sekitar pukul 10 malam itu, empat wanita warga Thailand dan seorang Vietnam ditahan ketika leka melayani pelanggan di pusat hiburan berkenaan.

JIM Pulau Pinang menerusi kenyataannya berkata, semua wanita terbabit berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan masuk sebagai pelancong dan diberi pas lawatan sosial.

“Semua mereka ditahan kerana disyaki melanggar syarat pas.

“Siasatan ke atas pemilik pusat hiburan terbabit dilakukan dan dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada jika terbukti terdapat elemen kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu JIM berkata, sebuah restoran dan bar terletak di Bayan Lepas turut diserbu dalam masa yang sama.

Katanya, seramai lima lelaki warga Myanmar berusia antara 25 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki bekerja di premis terbabit dengan tidak memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Kesemua tangkapan ditahan di Depot Imigresen Juru bagi siasatan dan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu lagi.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close