Jejambat Bandar Saujana Putra dibuka kepada umum, atasi isu kesesakan waktu puncak

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan pembukaan jejambat Bandar Saujana Putra sepanjang 820 meter pada Ahad.

Jejambat yang dibina melibatkan kos sejumlah RM70 juta itu dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula jam 12.01 tengah malam.

Amirudin turut menyempurnakan simbolik pelancaran dengan pelepasan ‘flag off’ dan mengedarkan ‘goodies bag’ Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) kepada pengguna yang melalui jejambat itu.

Hadir sama, Exco Infrastruktur Selangor, Izham Hashim, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Lau Weng San, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, Timbalan Yang Dipertua MPKL, Khairul Azam Saroni, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Pengarah-pengarah Jabatan MPKL.

Menurut Amirudin, pembukaan jejambat yang menghubungkan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bandar Saujana Putra terutama pada waktu puncak.

Tambahnya, kerajaan negeri melalui PNSB turut membantu menyelesaikan penangguhan pembinaan jejambat itu bersama pemaju sejak sekian lama.

“Penangguhan disebabkan pandemik Covid-19, proses kelulusan dari pihak berwajib kerana perlu berurusan melibatkan dua konsensi lebuh raya iaitu Lebuhraya Utara Selatan dan SKVE.

“Ikut rancangan awal jejambat dibuka pada Mei lalu, namun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu memutuskan dibuka secara rasmi pada 7 Julai setelah memuktamadkan pihak yang akan buat penyelenggaraan,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat