Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta jenis Perodua Viva yang tukar haluan ke kiri di Jalan Lingkaran dalam hala bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.05 petang ketika mangsa berusia 20-an yang bekerja sebagai juruteknik mesin di Singapura gagal mengelak dan melanggar bahagian depan kiri kereta tersebut.
Menurutnya, perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak di sebelah kiri jalan.
“Dalam perlanggaran ini, pemandu kereta Perodua Viva tidak mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal SRK 600 RC telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu kereta itu bebas daripada sebarang jenis dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
Justeru, pihak polis menyeru orang ramai yang melihat kejadian kemalangan tersebut untuk tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Zulpaka Bambo di talian 014-8861791.
Baca juga: