Sukan

Selangor FC mara ke separuh akhir Piala FA

Selangor mencatat kemenangan ke atas Kuching City pada aksi suku akhir kedua Piala FA seterusnya mengesahkan slot di pusingan separuh akhir Piala FA 2024.

Jurulatih Selangor, Nidzam Jamil menampilkan barisan terkuatnya dengan Ronnie Fernandez terus menjadi harapan buat The Red Giants untuk merobek gawang lawan sementara penjaring gol kemenangan di Kuching minggu lalu, Jordan Mintah mengetuai jentera serangan pelawat.

Kuching City memulakan aksi dengan percubaan tepat menerusi sepakan percuma pada minit ketiga permainan. Rembatan itu bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Sam Somerville.

Pada minit ke-14 permainan, Selangor dibolosi jaringan pertama daripada pasukan pelawat menerusi Shamie Iszuan. Hantaran daripada Jordan Mintah mudah disempurnakan Shamie untuk gol pembukaan perlawanan.

Selangor tak mudah mengalah selepas menjaringkan gol penyamaan perlawanan pada minit ke-27 permainan menerusi pemain pertahanan Ahmad Zikri Khalili.

Sebelum aksi di babak pertama tamat, Alvin Fortes memberi kegembiraan buat penyokong Selangor untuk jaringan kedua pasukan. Percubaan Alvin Fortes gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Shahril Saari.

Separuh masa pertama tamat, Selangor mendahului Kuching City dengan keputusan 2-1.

Bersambung aksi di babak kedua permainan, Selangor terus ghairah melancarkan serangan ke kubu pasukan lawan. Tambahan masa 20 minit pada babak kedua permainan diteruskan.

Selangor akhirnya berjaya merobek gawang Kuching City untuk gol ketiga sekali lagi menerusi Alvin Fortes. Keraian Selangor untuk mengesahkan slot ke separuh akhir bagaimanapun tak kekal lama apabila Kuching City secara tiba-tiba menjaringkan gol kedua menerusi pemain tengah, Muhammad Alif Hassan.

Babak separuh masa kedua tamat dengan keputusan 3-2 dan perlawanan diteruskan ke masa tambahan apabila agregat kedua-dua pasukan seri 4-4.

Keputusan 4-4 kekal di masa tambahan dan perlawanan dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Perlawanan di Stadium MBPJ berakhir dengan penentuan sepakan penalti yang menjadi milik Selangor sekaligus menyaksikan kemaraan Selangor ke pusingan separuh akhir.

Selangor menempah pertemuan menentang Terengganu dalam aksi separuh akhir yang juga bakal dilangsungkan dalam format timbal balik pada tarikh dan venue yang akan diumumkan kelak.

Related Articles

Check Also
Close