Jenayah

Bot kargo ditahan Maritim Malaysia di perairan Sandakan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Sandakan telah menahan sebuah bot kargo tempatan yang disyaki membawa barang kawalan tanpa permit sah di perairan Sandakan baru-baru ini.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Muhamad Suhairy Hussain, menyatakan bahawa rondaan rutin pada pukul 2.00 pagi mengesan bot tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Bot tersebut diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan,” kata beliau.

Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan oleh tekong berumur 70 tahun bersama dua awak-awak, berusia 27 dan 43 tahun.

Dalam pemeriksaan lanjut, didapati 150 kilogram beras, 48 kilogram gula, dan 17 kilogram minyak masak tanpa permit sah, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Kesemua barangan kawalan dan bot ditahan pada pukul 2.40 pagi untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan RM63,000.

Rampasan tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

“Pemeriksaan lanjut akan diteruskan bagi memastikan tiada lagi aktiviti penyeludupan di kawasan ini,” ujar beliau.

Maritim Malaysia menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan maklumat jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close