Ambulans terbabas, empat mangsa cedera di Plaza Tol Kamunting

Sebuah kenderaan ambulans Hospital Parit Buntar telah terbabas ke dalam parit di Plaza Tol Kamunting menghala ke Taman Berkat, Kamunting, Perak pada Selasa pagi.

Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Nurmuizzuddin Ahmad Hamide berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.30 pagi.

“Setibanya pihak kami di lokasi kejadian, terdapat empat mangsa terlibat dalam kejadian tersebut yang menaiki ambulans.

“Seorang lelaki berjaya dikeluarkan daripada kenderaan itu dengan bantuan orang awam manakala, tiga lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa yang mengalami kecederaan ringan dan dua orang lelaki mengalami kecederaan parah.

“Seterusnya, ketiga-tiga mangsa turut berjaya dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Taiping dengan menaiki kenderaan unit EMRS dan kenderaan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan segera.

Difahamkan, seramai lapan orang anggota bomba yang menyertai misi menyelamat insiden tersebut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.20 pagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat