Negeri

Maritim tahan 2 bot nelayan asing ceroboh perairan Terengganu

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan dua vesel nelayan asing Vietnam dianggarkan berjumlah RM3 juta di kedudukan 95.01 batu nautika Tenggara Muara Terengganu pada Khamis.

Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, kedua-dua vesel itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

Menurutnya, hasil siasatan terhadap 20 kru termasuk tekong mendapati, kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan kebenaran menangkap ikan di perairan negara dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, vesel dikendalikan oleh kru dan tekong yang berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun.

“Kedua-dua vesel itu telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Difahamkan, Maritim Negeri Terengganu telah mencatatkan sebanyak 15 kes tangkapan vesel nelayan asing Vietnam pada tahun 2024 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM16.5 juta bersama 123 kru warga Vietnam termasuk tekong ditahan.

Justeru, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan kesiapsiagaan aset bagi memastikan perairan negara khususnya perairan Terengganu terus terjaga daripada pencerobohon vesel nelayan asing.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close