Panas Express buka cawangan ke-32 di Taylor’s University

Kedai serbaneka tanpa pekerja berteknologi kecerdasan buatan (AI), Panas Express telah merasmikan pembukaan cawangan terbaharunya di Taylor’s University Lakeside Campus, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.

Cawangan tersebut merupakan cawangan ke-32 buat rantaian kedai serbaneka berkenaan sejak penubuhannya pada tahun lalu.

Perasmian cawangan terbaharu tersebut turut dihadiri oleh Pengasas Panas Express, Vincent Siow Wei Sern serta pemilik bersama, Chang Le.

Dalam ucapan perasmiannya, Vincent menyatakan penghargaan khususnya kepada pembekal yang hadir dan memberi sokongan yang berterusan sehingga Panas Express berjaya membuka cawangan ke-32.

“Kami turut akan membuka lebih banyak cawangan dalam masa akan datang, di mana kami akan meletakkan sasaran sebanyak 10 buah cawangan baharu akan dibuka pada setiap bulan.

“Kami turut mempunyai matlamat untuk mencapai lebih 100 cawangan Panas Express untuk dibuka di seluruh negara menjelang hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Bangkit pada upacara perasmian cawangan terbaharu Panas Express di Taylor’s University.

Dalam pada itu, pemilik bersama Panas Express cawangan tersebut, Chang Le turut menyatakan dirinya tertarik untuk menjadi pemilik salah sebuah cawangan Panas Express kerana kedai serbaneka tersebut mempunyai ciri-ciri teknologi yang lain daripada yang lain.

“Saya berasa kagum melihat cara pengoperasian kedai tersebut di mana tiada tenaga kerja manusia diperlukan untuk menjalankan perniagaan selama 24 jam.

“Pada pendapat saya, ciri-ciri AI yang ada pada Panas Express telah menarik saya untuk turut serta dalam perjalanan kedai serbaneka ini dan saya berasa gembira untuk memiliki cawangan Panas Express saya yang tersendiri,” katanya ketika memberi ucapan.

Vincent (kanan) bersama Chang Le ketika majlis perasmian cawangan baharu Panas Express di Taylor’s University.

Untuk info, Panas Express kini sudah mempunyai lebih 43 cawangan menjelang bulan Julai dan Ogos meliputi beberapa kawasan tumpuan bukan sahaja di ibu kota, malah di serata kawasan.

Antara cawangan Panas Express termasuk Lalaport Bukit Bintang City Centre, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), SEGi College Subang Jaya dan Publika Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Panas Express turut akan membuka beberapa cawangan terbaharu di kawasan lain termasuk empat cawangan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak; tiga cawangan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sebuah cawangan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat