Negeri

RM316.3 juta disalurkan bagi projek kawalan hakisan pantai di Sarawak

Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM316.3 juta untuk melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai dan limpahan air laut di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek berkenaan melibatkan enam bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Betong, Miri, Mukah, Limbang dan Samarahan.

“Projek ini melibatkan 17 lokasi dan masih dalam proses perolehan. Kami masih menunggu ia dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Chiew Choon Man (Pakatan Harapan – Miri) yang ingin tahu peruntukan kepada Sarawak bagi menangani masalah hakisan di Pantai Lutong.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, beliau berharap projek berkenaan akan dapat menyelesaikan sebahagian besar isu hakisan pantai di kawasan-kawasan terlibat.

Sementara itu, mengenai peruntukan kepada Jabatan Pengaliran Saliran negeri bagi mengatasi banjir kilat, Fadillah memaklumkan sebanyak RM950 juta disalurkan bagi kerja-kerja pemuliharaan sungai.

“Sejumlah RM410 juta telah diperuntukkan untuk memulihara sungai bagi mengurangkan risiko banjir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kepada setiap negeri.

“Selain itu, JPS juga memperuntukkan sebanyak RM540 juta di bawah RMKe-12 bagi kerja-kerja kecemasan luar jangka bertujuan memulihara struktur-struktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menjelaskan agihan peruntukan adalah berdasarkan kepada keperluan semasa setiap negeri.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close