Nasional

Wanita jatuh gaung semasa turun puncak Gunung Korbu berjaya diselamatkan

Seorang wanita yang cedera selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter semasa menuruni puncak Gunung Korbu, Ulu Kinta, Perak pada Isnin, berjaya dibawa keluar awal pukul 2 pagi Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 35 tahun itu dibawa keluar dengan selamat kira-kira 1.30 pagi.

Menurutnya, enam anggota bomba yang turut dibantu oleh malim gunung telah berjaya membawa turun mangsa dengan menggunakan pengusung (stretcher) hingga ke tapak permulaan pendakian (base).

“Wanita yang mengadu mengalami sakit di bahagian tulang belakang itu seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Sabarodzi dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada 3.29 petang dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) telah digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun.

Wanita berusia 39 tahun itu dikatakan menyertai trip Pendakian Korbu dan Gayong bersama 34 lagi peserta sejak Sabtu lalu dalam perjalanan keluar ke ‘base’ pada hari terakhir sebelum tergelincir dan terjatuh.

Seramai 21 orang anggotabBomba telah ditugaskan dalam operasi itu termasuk keanggotaan daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Ipoh serta di bantu oleh 14 orang Malim Gunung Perhutanan.

Difahamkan, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2 pagi setelah mangsa selamat dibawa turun ke ‘base’.

Related Articles

Check Also
Close