Nasional

45,336 permohonan pertukaran guru ‘duka lara’ telah diluluskan sejak 2017

Sebanyak 45,336 atau 35 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan bagi tempoh lapan tahun iaitu antara 2017 hingga Jun lalu, dengan keutamaan diberikan kepada kategori pasangan guru jarak jauh.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi setiap sesi pertukaran, kategori itu diberikan peratus kelulusan tertinggi berbanding faktor lain termasuk kesihatan dan keselamatan.

Katanya, data Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan sejak 2022 berlaku peningkatan kelulusan bagi pertukaran guru di seluruh negara.

“KPM sentiasa memberi keutamaan kepada permohonan pertukaran yang membabitkan permohonan daripada kategori pasangan berjauhan.

“Sebanyak 41 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan pada 2022, 58 peratus bagi 2023 dan 34 peratus diluluskan sehingga Jun tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai jumlah permohonan guru ‘duka lara’ sejak 2017 sehingga yang terkini dan apakah perancangan KPM bagi menangani isu berkenaan.

Katanya, prinsip asas pertukaran guru adalah berdasarkan kepada kekosongan jawatan dan keperluan opsyen di sesebuah negeri atau daerah yang dimohon.

Tambahnya, kepentingan dan keperluan perkhidmatan juga diambil kira dalam menguruskan pertukaran guru terutama bagi guru yang mengajar mata pelajaran khusus atau memerlukan kelayakan khas.

“KPM yakin dengan penambahbaikan kaedah dan sistem pertukaran guru, proses pertukaran guru dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

“KPM komited untuk memastikan kebajikan guru diberi keutamaan bagi mempertingkatkan produktiviti pendidikan negara tanpa menjejaskan pengajaran dan pembelajaran murid,” katanya.

Related Articles

Check Also
Close