Agong terima persembahan perutusan rasmi Sultan Brunei ke Istiadat Pertabalan

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima perutusan rasmi Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada 20 Julai 2024.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, perutusan rasmi itu dipersembahkan oleh delegasi Brunei yang diketuai Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara Brunei Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar.

Sultan Ibrahim juga berkenan mendengar persembahan taklimat mengenai acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Taklimat berkenaan dipersembahkan oleh Fahmi yang juga merupakan Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17.

Terdahulu, Fahmi mengumumkan Istiadat Pertabalan berlangsung pada 20 Julai di Istana Negara dan kerajaan dengan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan melaksanakan tujuh acara sempena istiadat penuh simbolik lima tahun sekali itu.

Acara sempena Istiadat Pertabalan itu dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai disusuli Khutbah Khas serta Solat Jumaat pada keesokannya di Masjid Negara.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara akan disusuli Majlis Santapan Diraja pada hari sama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat