Negeri

Pesara guru terpedaya lebih RM150,000 akibat pelaburan tidak wujud

Seorang pesara guru mengalami kerugian lebih RM150,000 akibat diperdaya sindiket pelaburan mata wang digital tidak wujud yang menggunakan taktik menarik penyertaan orang ramai melalui media sosial.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang juga wanita berusia 56 tahun terjerat selepas melihat iklan pelaburan dalam Telegram oleh tiga syarikat yang menawarkan keuntungan berlipat ganda pada 26 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa yang berminat dengan tawaran pelaburan itu kemudian berhubung dengan seorang individu tidak dikenali menerusi WhatsApp.

“Suspek telah memberi pautan laman web avafinancialfrx.com/trade/index.php kepada mangsa dan kemudiannya mangsa telah memasukkan maklumat diri mangsa dalam platform berkenaan.

“Sepanjang tempoh antara 29 Mac hingga 6 Julai lalu, mangsa dikatakan membuat pemindahan wang ke dalam 34 akaun berbeza secara berperingkat sehingga mencecah jumlah RM156, 850,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, selepas melihat terdapat perolehan keuntungan dalam akaun pelaburan miliknya, mangsa cuba mengeluarkannya tetapi suspek didakwa mula berdolak-dalih.

“Suspek dikatakan memberi pelbagai alasan, sebaliknya meminta mangsa membuat tambahan pembayaran tetapi wanita itu tidak menuruti permintaan berkenaan kerana baru sedar dia ditipu,” ujarnya.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Yong Peng pada Ahad dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tegas beliau, polis sudah kerap memberi nasihat malah turut membuat hebahan melalui media sosial mengenai penipuan seumpama ini.

Justeru, jangan mudah mempercayai promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan orang ramai dinasihatkan melayari Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close