Kandungan oksigen terlarut rendah cetus ikan mati di Kuantan

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan siasatan pada 8 dan 9 Julai lalu susulan insiden ikan mati di Tasik Taman Bandar dan Parit Kampung Jawa, Kuantan, Pahang.

Menurut Pengarah JAS Pahang, Wandi Yadzid Yaakob, hasil siasatan mendapati ikan-ikan yang mati terdiri daripada spesis lampam dan tilapia di kedua-dua lokasi.

“Pengujian ‘in-situ’ di kedua-dua lokasi aduan mendapati kadar Oksigen Terlarut (Dissolved Oxygen, DO) adalah di bawah 1.0 mg/L dan rendah berbanding julat normal bagi kehiupan akuatik iaitu 4.0 – 6.0 mg/L.

“Kadar Oksigen Terlarut yang rendah ini disyaki faktor utama yang menyebabkan kematian ikan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan JAS Negeri Pahang.

Beliau berkata, pihak JAS turut memeriksa bahagian hulu lokasi aduan bagi mengenalpasti punca-punca pencemaran yang berpotensi dalam lingkungan dua kilometer jejari daripada lokasi ikan mati ditemui.

“Antara kategori kawasan yang diperiksa melibatkan longkang dan saliran air di kawasan perniagaan komersial, pasar dan perumahan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, sebanyak tiga persampelan air telah dijalankan di kedua-dua lokasi aduan dan telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa lanjut.

Difahamkan, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kejadian ikan mati tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat