Nasional

KKM tambah baik langkah tangani isu kesihatan mental

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil langkah penambahbaikan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesihatan mental dan saluran bantuan melalui mesyuarat Majlis Sosial Negara di Parlimen.

KKM menerusi satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) untuk meningkatkan literasi kesihatan mental dan libat urus bersama pengamal media dalam penulisan dan pelaporan media yang selamat.

Menurutnya, talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan atau ‘Talian HEAL’ boleh diakses di talian 15555.

“Latihan pencegahan bunuh diri untuk petugas barisan hadapan seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Pembangunan Sistem Registri Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan bagi atau National Suicide and Fatal Injury Registry Malaysia (NSFIRM) dan nyahjenayah cubaan bunuh diri (pindaan Kanun Keseksaan dan Akta Kesihatan Mental) dan mewujudkan Pegawai Intervensi Krisis (polis, bomba, Maritim, dan lain-lain),” katanya.

Selain itu, katanya khidmat psiakiatri dan kaunseling akan terus ditawarkan di semua fasiliti kesihatan yang berkenaan.

KKM turut menyarankan agar mereka yang terkesan untuk tampil mendapatkan bantuan dengan menghubungi mana-mana sahaja saluran kerana KKM mengamalkan dasar ‘no wrong door’ (tiada pintu salah).

Justeru, sokongan ahli keluarga dan sahabat handai juga diperlukan dalam membantu mereka yang berhadapan dengan tekanan.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi mesyuarat dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close