Bekas pemain Negeri Sembilan, Zaquan Adha menyuarakan pendapatnya ketika mengupas mengenai isu tundakan gaji yang pernah dialaminya suatu ketika dahulu semasa masih menjadi pemain bola menerusi satu hantaran di Instagramnya pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat susulan satu artikel yang melibatkan pemain kelab Kuala Lumpur City, Paulo Josue yang menyatakan kali terakhir beliau menerima gajinya adalah pada Disember tahun lalu.
“Untuk korang semua pemain saya tahu, korang tak boleh nak bersuara. Saya tolong suarakan sikit-sikit untuk korang semua. Cukuplah korang repost sahaja.
“Ni la jadi bila pemain-pemain tak berani bersuara dan lawan mengenai masalah gaji. Tapi tu la, bila bersuara atau lawan pasal perkara ini korang akan terima padahnya pada musim depan pula dengan pihak pengurusan, tak nak disambungkan kontrak dan tidak mahukan pemain yang bersuara dalam erti kata lain ‘kepala dalam pasukan’ seperti saya.
“Lepastu nanti akan ada satu terma dimana semua pemain kena tanda tangan, dalam terma tu pemain-pemain tak boleh bersuara mahupun bercerita mengenai masalah dalaman pasukan tersebut.
“Lebih baik ada pemain yang lawan pasal gaji dan akhirnya nanti masalah gaji akan selesai daripada berdiam diri dan hadaplah masalah gaji yang tidak dibayar bulan-bulan. Tu pun kalau akan dibayar la, Macam mana nak jadi pasukan juara kalau masalah macam ini sering berulang,”ujarnya.
Zaquan turut menyatakan, pihak pengurusan pasukan-pasukan bola negara harus memberi perhatian dalam pencarian ahli lembaga pengarah pasukan.
Menurutnya, individu yang mempunyai ilmu pengetahuan mengenai bola adalah keutamaan dalam pemilihan lembaga pengarah, sekiranya mahu menjadi pasukan juara.
Ketika ini, pihak media masih cuba mendapatkan penjelasan terbaik daripada pihak KL City dalam masa terdekat untuk mengesahkan dakwaan oleh Paulo Josue berkenaan tunggakan gajinya.
Baca juga: