Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengambil keinsafan daripada kupasan slot Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Peringkat Kebangsaan 2024 yang diadakan di Perlis pada Selasa.
Menurutnya, beliau datang dengan dua keinsafan selepas mengikuti slot yang disampaikan oleh Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
“Keinsafan pertama yang saya rasai adalah apabila dapat menghadiri daurah yang cukup menakjubkan.
“Ini kerana tidak semua orang yang dapat peluang mengikuti satu siri yang cukup intensif dan membina pemikiran serta meluaskan pengetahuan dan memberikan tumpuan kepada bagaimana mengangkat konsep karamah insaniah (kemuliaan insan) dalam pendidikan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Fadhlina turut menyatakan keinsafan kedua ialah berasa tawadduk dan berusaha untuk menjadi ‘learning machine‘, iaitu sentiasa dahagakan ilmu dan mempertingkatkan diri.
“Seperti dalam hadis pertama Imam Nawawi tentang niat, setiap tindakan kita harus disertai niat yang ikhlas, demi kebaikan dan peningkatan diri,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fadhlina menyatakan pelaksanaan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi adalah bertepatan dengan konsep kemuliaan insan yang mementingkan aspek adab, akhlak, nilai manusiawi dan integriti dalam kehidupan seharian.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam program tersebut dan mendoakan agar majlis ini penuh berkat dan menghasilkan natijah yang luar biasa.
Untuk info, daurah tersebut berlangsung dari 9 hingga 11 Julai 2024 di Hotel Seri Malaysia, Perlis, melibatkan 250 peserta termasuk panel penggubal Modul Edisi Kedua KPM, Jurulatih Utama negeri, guru-guru pendidikan Islam, dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Baca juga: