Polis Daerah Tawau menahan seorang lelaki bersama 52.41 gram dadah jenis syabu di sekitar Kampung Kurnia Jaya Batu 4 Tawau, Sabah pada Ahad.
Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin melaporkan suspek yang ditahan merupakan seorang warga asing berusia 45 tahun.
“Polis menemui suspek yang kelihatan mencurigakan ketika berada di tepi jalan ketika sedang menjalankan Operasi Tapis pada 6.20 petang.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek telah menyerahkan satu bekas plastik yang berisi 36 paket lutsinar berlainan saiz berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 52.41 gram dengan anggaran sebanyak RM11,500,” katanya dalam kenyataan.

Jasmin turut memaklumkan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Jasmin menyeru semua masyarakat agar dapat bekerjasama untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah termasuk dalam kalangan ahli keluarga, jiran dan warga sekampung yang disyaki.
Baca juga: