JIM Perak gempur sarang pelacuran, premis hiburan, 88 warga asing dicekup

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak telah menahan 88 orang warga asing menerusi Ops Gegar yang dijalankan di sebuah premis penginapan dan dua premis hiburan sekitar bandar Ipoh pada Rabu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JIM Perak, mereka yang ditahan terdiri daripada 64 warga Thailand, 13 warga Vietnam, empat warga Nepal, tiga warga India dan Bangladesh serta seorang warga Sri Lanka yang masing-masing berusia antara 21 hingga 46 tahun.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 10 orang lelaki dan 78 orang perempuan tersebut disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen Malaysia.

“Antara kesalahan yang dilakukan termasuk kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaiatu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.

“Selain itu, sebanyak 14 saman dikeluarkan kepada pemilik dan penjaga premis warga tempatan di bawah kesalahan Akta 155 dan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata kenyataan tersebut.

Operasi tersebut melibatkan seramai 35 orang pegawai Imigresen serta 22 orang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara.

Dalam pada itu, JIM Perak menzahirkan harapan agar masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat sebegitu untuk membamteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin dalam negara ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat