Nasional

Nilai perdagangan Malaysia naik 8.7 peratus kepada RM1.158 trilion

Jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 8.7 peratus kepada RM1.158 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023, iaitu berjumlah RM1.066 trilion bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, peningkatan prestasi perdagangan Malaysia ini disokong oleh pertumbuhan positif kitaran teknologi (Tech Up Cycle) di mana pasaran semikonduktor global dijangka meningkat sebanyak 16 peratus tahun ini menurut World Semiconductors Trade Statistics.

Menurut beliau, Bank Negara Malaysia mengunjurkan perdagangan negara pada tahun 2024 untuk meningkat sebanyak 5.2 peratus manakala eksport dijangka berkembang sebanyak 5.0 peratus.

“Peningkatan ini merangkumi barangan semikonduktor, pengkomputeran, AI (kecerdasan buatan), automotif dan komunikasi.

“Malaysia sebagai pengeksport global ke-10 terbesar bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan pengeksport keenam terbesar bagi semikonduktor pada tahun 2023 bakal dimanfaatkan oleh perkembangan ini.

“Pertumbuhan eksport pada tahun 2024 turut akan disokong oleh prospek positif bagi harga komoditi utama seperti minyak sawit serta petroleum mentah,” katanya.

Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang meminta statistik kadar pertumbuhan eksport Malaysia ke luar negara sehingga Jun lalu.

Chin Tong berkata, statistik perdagangan luar Malaysia setakat ini adalah sehingga bulan Mei lalu manakala data Jun  hanya akan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 18 Julai ini.

Beliau menambah, bagi tempoh Januari hingga Mei lalu juga, eksport meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM605.25 bilion dan import turun meningkat 13.7 peratus kepada RM553.24 bilion.

Menurut beliau, bagi tempoh sama eksport jentera, kelengkapan dan peralatan meningkat 21.8 peratus kepada RM27.54 bilion.

“Ini didorong oleh kenaikan jentera dan perkakasan bagi pembuatan barangan semikonduktor untuk menyokong sektor E&E. Pada bulan Mei 2024, perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan dan kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun sebanyak 10.3 peratus kepada RM246.31 bilion.

“Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang kelima bulan berturut-turut. Eksport meningkat dua bulan berturut-turut, berkembang 7.3 peratus kepada RM128.22 bilion.

“Sementara itu, import naik 13.8 peratus kepada RM118.09 bilion menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM10.14 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-49 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close