Negeri

Dua motosikal bertembung, penunggang p-hailing maut

Seorang lelaki dipercayai penunggang p-hailing meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan bersama sebuah lagi motosikal di simpang Dataran Perpaduan 3, Jalan Perpaduan, Ipoh, Perak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa keluar simpang untuk membelok ke kanan.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Azmeer Mazlan, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Ketika keluar, motosikal mangsa memasuki laluan penunggang motosikal yang datang dari arah Tambun menghala ke Bercham.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang berusia 16 tahun itu tidak sempat mengelak dan melanggar di bahagian sisi kanan motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan terseret ke bahu kanan jalan sebelum terjatuh.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, remaja lelaki terbabit turut mengalami kecederaan ringan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.

Justeru, polis meminta saksi kejadian untuk tampil atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 bagi membantu siasatan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close