Meraikan cinta suci dan ketaatan menerusi lagu ‘Zamzam’ oleh Hafiz Hamidun

Penyanyi Nasyid, Hafiz Hamidun mendalami sifat keimanan, kesetiaan dan pengabdian kepada agama menerusi single terbaharunya yang berjudul “Zamzam” yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Menurut penyanyi berusia 39 tahun itu, lagu tersebut merupakan inspirasi yang diambil daripada sejarah agama yang mengisahkan mengenai telaga zamzam, iaitu sumber air suci dalam Islam yang terletak di Mekah, Arab Saudi.

“Umat Islam meyakini bahawa telaga ini dicipta secara ajaib oleh Allah untuk memberi air kepada salah seorang isteri Nabi Ibrahim A.S. iaitu Siti Hajar dan anaknya Ismail di padang pasir yang tandus, sebuah kisah yang melambangkan kepercayaan kepada rezeki Allah dan kuasa iman.

“Lirik “Zamzam” yang dicipta oleh ITO Lara secara puitis menceritakan kisah abadi Siti Hajar dan Nabi Ibrahim dalam perjalanan mereka yang penuh keimanan dan ketaatan kepada Allah. Lagu ini membuka dengan gambaran hidup kisah para jemaah, yang bermula dari Safa.

“Korus “Zamzam” pula merupakan antara simbol yang kuat sepanjang lagu ini yang membuktikan kesetiaan Hajar, kesediaannya yang ditinggalkan sendirian di padang pasir yang luas, dan imannya yang akhirnya berserah kepada rezeki Allah.

“Pengulangan “Zamzam” dalam lagu mencerminkan putaran ulangan proses sa’i antara Safa dan Marwah, yang juga melambangkan pencarian iman serta petunjuk Ilahi yang berterusan selain digambarkan sebagai sumber Ilahi yang tak berkesudahan dan terus mengalir dari syurga,” jelasnya menerusi satu kenyataan.

Kisah lampau dan pengalaman mendalam yang memberi semula semangat dan kekuatan kepada Hamidun melalui muzik barunya “ZamZam” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat